Persembahan Makyung ‘Dewa Muda’ Sempena Festival Kampung Artistik Universiti Malaya (K@UM) – 25 & 26 Mei 2012
Persembahan Makyung ‘Dewa Muda’ akan diadakan sempena Festival Kampung Artistik Universiti Malaya (K@UM) dari 25 hingga 26 Mei 2012 (Jumaat-Sabtu) anjuran Jabatan Drama Universiti Malaya. Persatuan Penggiat Seni Budaya Kelantan (PESIBAN) turut terlibat bagi menjayakan persembahan Makyung “Dewa Muda” ini.

Semasa festival itu, beberapa seni persembahan akan dipentaskan termasuk:-
(1) Makyung “Dewa Muda”
(2) Wayang Kulit Kelantan
(3) Dikir Barat
(4) Tari Inai
(5) Silat Tari
(6) Gerai-gerai jualan
Semua dijemput hadir ke acara gilang-gemilang ini. Tiket masuk berharga RM3 (sumbangan), sebarang pertanyaan sila hubungi Cik Siti Fatimah di talian 03-7967 3288 / 7079, Faks : 03 7967 3576
Sidang Media & Pratonton Makyung Dewa Muda (K@UM)
JIKA pementasan makyung yang pernah dipersembahkan dalam mana-mana pementasan sebelum ini pastinya menggunakan pakaian yang bergemerlapan dan indah, namun pementasan teater melalui projek Kampung Artistik Universiti Malaya pada 25 dan 26 Mei ini tidak begitu menonjolkan aspek pakaian dengan alasan tersendiri.
Ketua Jabatan Drama, Mohd Effindi Samsuddin, berkata pemilihan pakaian yang akan digunakan dalam pementasan itu nanti adalah secara sederhana dan ringkas. Katanya, jika sebelum ini kebanyakan pementasan makyung mementingkan busana mewah sehinggakan dayang istana turut memakai songket, tidak bagi pementasan Mak Yung Raja Muda ini. “Antara sebabnya kami mahu terus mengekalkan konsep kampung tradisi dengan pengisian elemen yang menggambarkan budaya tradisi masyarakat Kelantan.
“Jadi, pementasan ini lebih sesuai digambarkan sebagai pementasan rakyat supaya ia lebih dekat di hati penonton nanti. Sebelum ini, kita juga sudah mempersembahkan teater Randai pada April tahun lalu yang juga menggunakan konsep yang sama, iaitu kampung.
Sambutan yang diterima cukup menggalakkan daripada pelajar UM, aktivis serta masyarakat luar,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media dan pratonton makyung, baru-baru ini.
Katanya, matlamat produksi pementasan ini adalah untuk mempamerkan karya dan ilham baru kepada masyarakat sambil mengetengahkan bahan kreatif yang diambil dari unsur dalam kehidupan biasa di kampung sebagai medium persembahan artistik. “Peruntukan kewangan amat terhad, jadi kita harus bergerak secara kreatif untuk menjayakan teater ini.
“Oleh itu, pelajar turut didedahkan dengan ilmu menghasilkan peralatan yang akan digunakan sebagai props pementasan dan dibawa ke hutan mencari bahan asli yang mahu digunakan seperti kayu. Pada masa sama, ia memupuk nilai kreatif dalam diri pelajar,” katanya.
Pengarah teater, Mohd Asrul Faizal Kamaruzaman berkata, latihan teater itu sudah dijalankan hampir sembilan minggu yang lalu membabitkan pelajar Jabatan Drama UM.
“Bukan mudah menghasilkan pementasan ini dan mengajar pelajar terutama dalam latihan berdialog dalam bahasa Kelantan dan menyanyi lagu makyung. Ia mengambil masa dan kesabaran yang tinggi sebagai pendidik. Namun, ia satu usaha memartabatkan seni yang cukup berbaloi apabila melihat pelajar boleh bertutur bahasa klasik, menyanyi dan berlakon di atas pentas dengan penuh yakin,” katanya.
Pementasan yang akan berlangsung di Dewan Tunku Canselor, UM itu diadakan percuma. Istimewanya sembilan lagu seperti Mengadap Rebab dan Sedayung Makyung akan diperdengarkan ketika pementasan nanti. – BERITA HARIAN
saya dapat tau blog ni lepas tengok video orang arab kecek kelate…ada apa2 update dari beliau sekarang ni?