Keputusan Dikir Barat Kebangsaan RTM
Dipetik dari Utusan Malaysia Online 10/12/2007
Dikir Barat 2007 berjaya angkat warisan tradisi
DI KALA generasi muda zaman ini seakan-akan tidak lagi mempedulikan persembahan tradisional yang telah ditinggalkan sebagai warisan oleh nenek moyang mereka, masih ada lagi mereka yang cuba menaikkan martabatnya agar tidak terus pupus di telan zaman.
Pujian ini harus diberikan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang tidak pernah putus untuk terus meletakkan persembahan tradisional di tempat yang paling tinggi.
Malah, usaha RTM untuk terus menjadikannya sedemikian agar diterima oleh generasi muda zaman ini juga tidak harus dipandang enteng.
Ini dapat dilihat pada Pertandingan Akhir Dikir Barat Kebangsaan 2007 yang telah berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor dengan cukup jayanya apabila hampir 5,000 orang datang menyaksikan pertandingan tersebut yang rata-rata terdiri daripada generasi muda yang masih lagi mengagungkan persembahan tradisional itu.
Sebaik sahaja kumpulan pilihan mereka melangkah kaki di atas pentas, sorakan daripada peminat kedua kumpulan yang bertanding bergema di segenap ruang stadium. Sokongan dan sorakan yang diberikan mereka itu menunjukkan masih lagi ada yang menyanjung tinggi budaya dan persembahan tradisional itu yang semakin di pandang sepi oleh masyarakat.
Dua buah kumpulan yang bertanding iaitu Kumpulan Irama Warisan Pantai Dalam dan Kumpulan Sri Tanjung Kuala Sabak telah berjaya mempamerkan persembahan yang cukup cemerlang menerusi tajuk yang telah disediakan iaitu Wang Adalah Segalanya.
Kumpulan Irama Warisan Pantai Dalam selaku pencadang telah memberikan hujah-hujah yang bertepatan dengan tajuk yang diberikan. Apatah lagi, persembahan yang diberikan oleh tukang karutnya, Mohd. Zain Husin yang mencuit hati menerusi kata-katanya yang cukup menyakinkan.
Persembahan mantapnya itu telah melayakkan dirinya dinobatkan sebagai Tukang Karut Terbaik dan berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak
RM3,000 berserta sebuah trofi dan sijil.
Ketika ditemui selepas majlis, dia memberitahu bahawa dia cukup berpuas hati dengan persembahannya meskipun debaran dan rasa gugup di atas pentas tidak mampu dielakkan olehnya.
Masakan tidak gugup kerana sebagai tukang karut, saya perlu memberikan idea secara spontan dan bukannya dirancang. Takut juga kalau buat silap dan terpesong dari tajuk yang diberikan. Apa-apa pun, saya sudah melakukan yang terbaik.
Lagipun, kumpulan ini baru sahaja ditubuhkan dan tidak sama sekali kami menyangka kami akan dapat beraksi hingga peringkat akhir. Kami telah mencuba melakukan yang terbaik dan berpuas hati dengan persembahan yang telah diberikan meskipun tewas menjadi johan. Gelaran naib juara ini pun sudah memberi kepuasan dan kegembiraan buat kami,? jelas Mohd. Zain yang mewakili kumpulannya.
Sebagai naib johan, kumpulan Irama Warisan Pantai Dalam berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000, trofi dan sijil.
Seperti yang dijangka, kumpulan Sri Tanjung Kuala Sabak dari Pengkalan Chepa, Kelantan yang bertindak sebagai pembangkang itu telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan yang berjaya melayakkan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, trofi dan sijil.
Bukan itu sahaja, jogho atau juara kumpulan tersebut iaitu Ramlee Mat atau lebih dikenali sebagai Ramlee Raja Laut telah dinobatkan sebagai Juara Terbaik dan melayakkan dirinya membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi serta sijil.
Dengan itu, Ramlee Mat telah berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan juara terkenal yang lain di antaranya Megat Nordin, Zaidi Buluh Perindu, Mat Glamor dan Tuan Kob Raja Saring sejak pertandingan ini mula diadakan pada tahun 1993.
Pemenang telah diadili oleh juri yang cukup berpengalaman dalam dikir barat iaitu Ahmat Mahmood selaku ketua juri, Mohamed Tharuwat Ismail Bakti, Mohd. Yassin Yaacob, Hanafi@Mohd. Ghani Wan Daud dan Khairi Karbak.
Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Noriah Kasnon. Turut hadir adalah Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid.
Bukan itu sahaja, Pertandingan Akhir Dikir Barat Kebangsaan 2007 juga berjaya kerana membariskan tiga orang pengacara iaitu Darling Ngasri, Danny dan Angeline Tan yang dilihat cukup serasi dan bijak mengendalikan serta menghidupkan rancangan yang bersiaran selama dua jam itu.
Bukan itu sahaja, ia turut diserikan dengan persembahan oleh artis popular iaitu Misha Omar, Sasi The Don, Syura, Sabri Yunus serta dua penyanyi muda yang dicungkil dari pertandingan RTM, Najib dan Sabihah.
Ulasan dan komen di forum Komuniti Dikir Barat Malaysia >>
siapakah pengarah bagi setiap lakonan Salam Pantai Timur?
Siapakah yang menulis setiap cerita yang dilakonkan? bilakah beliau menulis?