Kebakaran di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP)
Orang ramai dan penumpang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa gempar apabila sebahagian bangunan terminal lapangan terbang itu, dipenuhi asap yang keluar melalui lubang pendingin hawa. Pihak pengurusan Malaysia Airport Berhad (MAB) mengarahkan orang ramai mengosongkan bangunan terminal itu kira-kira 30 minit bagi membolehkan pihak keselamatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mengawal keadaan.
Hasil pemeriksaan, asap berkenaan didapati berpunca daripada kebakaran kotak suiz pendingin hawa yang terletak di tingkat satu berhampiran sebuah restoran makanan segera. Kejadian yang berlaku pukul 6.27 petang itu dipercayai daripada litar pintas selepas disambar petir sewaktu hujan lebat di kawasan berkenaan.
Turut berada di lapangan terbang berkenaan ketika kejadian ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang dijadual menaiki pesawat ke Kuala Lumpur. — Sumber BERNAMA