Festival Kelantan 2007

Pertikan Artikel dari Mstar:

Pertandingan beruk petik kelapa untuk tarik pelancong

20-01-2007 06:17:03 PM

KOTA BAHARU: Pertandingan Beruk Memetik Kelapa dan Hari Peringatan Perang Dunia Kedua antara 29 acara yang telah disusun oleh Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM07), sepanjang tahun ini.

Mengikut kalendar acara yang dikeluarkan oleh TIC yang bertemakan Festival Kelantan 2007, Persembahan Permainan Tradisional bakal membuka tirai festival itu yang bermula bulan depan di Gelanggang Seni, Jalan Mahmood di sini.

Menurut kalendar itu, antara yang terkandung dalam persembahan itu nanti terdiri wayang kulit, muzik tradisional, rebana ubi, gasing pangkah, silat tari, kertok, sepak bulu ayam dan congkak.

Pertandingan Kraftangan dan Masakan Tradisional bagi mempromosikan produk kraftangan dan pelbagai menu masakan yang terkenal di negeri ini, diadakan pula sepanjang Mac ini.

Kemudian disusuli tiga acara lagi iaitu Pesta Flora, Pertandingan Dikir Barat sempena Keputeraan Sultan Kelantan, Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir/Merbok dan Pertandingan GoKart Diraja Kelantan akan diadakan pula sepanjang April.

Kesemua pertandingan itu akan diadakan di Taman Orkid Tengku Anis dan perkarangan Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, yang kedua-duanya di sini, Gelanggang Seni Suara Burung, Lubok Jong, Pasir Mas dan di Litar Go Kart Tengku Mahkota di Bachok.

Sepanjang bulan yang sama turut diadakan adalah Bulan Pesta Air masyarakat Siam (Songkran) di Tumpat.

Pada Mei pula, Pesta Wau yang memperlihatkan kreativiti rekaan wau tradisional tempatan dan Pesta Joran, yang juga akan diadakan di Pantai Sri Tujuh di Tumpat dan penutup acara pada bulan itu adalah Pesta Nasi 100 yang diadakan di Gelanggang Seni di sini.

Sepanjang Jun, tiga acara lagi telah disusun iaitu Pertandingan Bintang Seni Budaya di Gelanggang Seni, Pertandingan Memancing dan XPDC Sungai Nenggiri di Gua Musang dan Pertandingan Beruk Memetik Kelapa di Pantai Kundur di sini.

Kemudian disusuli Cabaran Nenggiri International Challenge di Gua Musang dan Pesta Air Kelantan di Pantai Sri Tujuh, sepanjang Julai.

Sempena kemerdekaan negara yang ke-50 ini, pelancong akan dapat menyaksikan Pesta Joran Kemerdekaan, Pertandingan Ayam Serama Peringkat Asean dan Karnival Budaya Kelantan yang kesemuanya diadakan di sini, sepanjang September.

Pesta Loy Krathong di Tumpat dan Hari Memperingati Perang Dunia Kedua di sini mengakhiri acara Festival Kelantan yang berakhir pada November depan.

Tahun ini Kelantan mensasarkan lebih tujuh juta pelancong melawat negeri itu. BERNAMA